Thursday, 28 July 2011

Di mana DIA di hatiku?

 Hiduplah selagi hidup.
Jangan mati sebelum mati.
Jangan pulang sebelum pergi.
Usah berubah pendirian, walau beralih pendekatan.

Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU.
Jadilah dirimu sendiri, insya-ALLAH kau akan sentiasa menjadi juara.
Tetapi jika kau berlakon, kau bertukar menjadi klon yang kedua, ketiga, dan seterusnya.

Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama.
Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.
Bertatih dengan kaki sendiri lebih mulia daripada bersayap emas milik orang lain.

Jadilah raja dalam kerajaan diri yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati.
Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah.
Tidak ada istilah kalah, cuma kemenangan yang ditangguhkan.

Lupakan keperitan masa lalu setelah diperah segala pengajaran dan iktibar.
Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini.
Menyesal itu bebal, kesal itu bekal.

Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati.
Insya-ALLAH nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati.
Justeru, banyak yang kau buat akan terus hidup selepas mati.

Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari akhirat.
Sesungguhnya, hidup sebelum mati ini adalah bekal untuk hidup selepas mati.

Hidup di dunia ini cuma modal untuk hidup di akhirat.
Itulah hakikat hidup, ia satu perjuangan menempuh jalan pulang.
Jika sesekali terasa lemah melangkah, renungilah alam.

Insya-ALLAH, kita akan dapat belajar hidup daripada hidup-hidupan...
HIDUPLAH UNTUK HIDUP!

~Di mana DIA di hatiku? 
By Ustaz Pahrol Mohd Juoi. 

No comments:

Post a Comment